Pengasingan: Antara Pendirian dan Pilihan

Sempena Bulan Bahasa ini, ada baiknya juga aku teruskan menulis dalam bahasa Melayu.

Sebenarnya, hari aku menerima berita yang mengecewakan daripada Peti Solek merupakan hari penuh emosi yang bercampur-aduk. Ada kelegaan dan kegembiraan, kemudian diakhiri dengan kekecewaan yang kusebut tadi. Pada sebelah petangnya aku duduk berbual dengan Mak tersayang membincangkan hal tukang masak atau kini dipanggil ‘katerer’ (tak tahu pula kalau dah diterima masuk Kamus Dewan perkataan ‘katerer’ itu) untuk majlisku. Memandangkan kami sudah pun mula berbual tentangnya, Mak menggesaku untuk membuat beberapa panggilan kepada beberapa katerer yang sedang aku pertimbangkan. (Sebenarnya dua sahaja.) Cerita versi pendek, walaupun kami belum membuat apa-apa keputusan dan tempahan, sekurang-kurangnya aku sudah tahu bahawa ada katerer yang boleh menyediakan makanan enak dan ringkas untuk majlisku pada harga yang sesuai dengan bajetku. (Perkataan ‘bajet’ pun perlu diperiksa penerimaannya ke dalam bahasa Melayu standard. Hai, kalaulah penulis Berita Harian dan rancangan Berita di Suria serajin aku dalam bab memeriksa kamus, sudah tentu tak banyak kesilapan yang akan aku kesan dalam penggunaan bahasa Melayu mereka. Orang kata, job hazard.)

Mak memanggil Bapak ke dalam bilikku untuk mengemukakan rancangan kami berkenaan jenis makanan dan cara hidangannya. Memandangkan Bapak sudah pun ada di situ mendengarkan rancangan kami, Mak mengambil kesempatan untuk berkongsi dengannya berkenaan senarai tetamu yang sudah awal-awal dicatitnya, memandangkan bagi majlisku jumlah tetamu akan dikurangkan sebanyak separuh (malah lebih) daripada jumlah tetamu yang telah dijemput semasa majlis kakak dan abang-abangku. (Bapak, sebagai lelaki Melayu tipikal, sentiasa mengambil ringan / mudah dan beranggapan bahawa masih terlalu awal membuat perancangan dan mengambil keputusan untuk majlis perkahwinanku, memandangkan majlisnya akan diadakan pada akhir tahun hadapan.)

Apabila menyentuh tentang senarai tetamu, isu yang menjadi duri dalam daging bagiku diterbitkan: isu pengasingan atau pemisahan antara tetamu lelaki dan tetamu wanita di majlis perkahwinan. Aku tidak suka sama sekali amalan sebegitu kerana bagiku amalan itu memperlekeh budi bicara tetamu; seolah-olah tetamu yang datang tidak tahu cara bergaul yang sopan dan tertib di majlis perkahwinan dan perlu dipisahkan antara lelaki dan perempuan secara paksa. Kalau pada hari biasa kita boleh ke pusat makanan yang penuh dengan orang ramai, pergi ke gerai tertentu untuk memilih makanan dan membuat pesanan, kemudian makan di meja bersebelahan dengan pelanggan lain yang berlainan jantinanya; semuanya dilakukan secara sopan tanpa rasa canggung, mengapa pula di majlis perkahwinan kita perlu rasa canggung duduk dan makan semeja dengan mereka yang berlainan jantina? Kalau dalam majlis kenduri arwah atau doa selamat, tidak pula dipisahkan lelaki dan perempuan walaupun ada yang bukan muhrim, jadi mengapa dalam majlis perkahwinan, ibu bapaku (atau lebih tepat bapaku) ingin mengamalkan pengasingan?

Tembok India.

Selain itu, aku juga tidak suka dengan amalan memisahkan antara tetamu lelaki dan tetamu perempuan kerana seandainya kawan-kawan yang aku jemput datang bersama suami / tunang / buah hati masing-masing, mereka akan terpaksa duduk berasingan dan terpaksa makan tanpa berteman. Silap-silap, mereka tidak makan langsung kerana kurang selesa makan bersendirian. (Lainlah kalau aku, aku sudah biasa melakukan apa sahaja seorang diri. Membeli-belah, makan di luar, datang ke majlis perkahwinan, namakan apa sahaja, semuanya boleh dan selesa kulakukan seorang diri. Seandainya ibu bapaku, juga tunangku, membenarkan aku melancong seorang diri, nescaya akan aku lakukan jika susah sangat nak cari ‘kaki’. Aku boleh dikatakan antara spesies manusia yang jarang ditemui.) Aku juga sangat kritikal terhadap pandangan yang menyatakan bahawa amalan pengasingan ini bersifat lebih Islami. Ini lebih-lebih lagi setelah aku membaca penulisan seorang Muslim dari Toronto, Kanada, yang menjelaskan bahawa amalan pengasingan antara lelaki dan perempuan di majlis perkahwinan sebenarnya sama sekali bukanlah amalan Islami dan sebaliknya meniru amalan pra-Islam.

Pendirianku telah kumaklumkan awal-awal kepada Mak, yang kemudiannya telah bertindak sebagai orang tengah dan menyampaikannya kepada Bapak. Daripada respons Mak, aku dapat mengagak bahawa beliau bersikap terbuka dan menerima alasan yang kuberikan bagi pendirianku. Hanya Bapak sahaja yang masih berkeras dan mahu amalan itu dilaksanakan sebagaimana yang berlaku dalam majlis kakak dan dua orang abangku. Apabila akhirnya isu itu ditimbulkan dalam perbualan kami bertiga, aku menyuarakan secara langsung kepada Bapak hasratku agar tetamu di majlisku tidak dipisah-pisahkan. Bapak pula menyatakan bahawa beliau mahukan kompromi dalam bentuk pengubahsuaian; ada pilihan bagi mereka yang mahu duduk berasingan, dan ada juga pilihan bagi kawan-kawanku atau tetamu lain yang ingin duduk bersama kawan-kawan berlainan jantina atau pasangan masing-masing. Mak juga berkongsi dengan Bapak ideaku untuk menetapkan, dalam kad jemputan, jangka waktu tertentu (satu jam terakhir misalnya) untuk kawan-kawanku hadir di majlisku. Hal tersebut akan dapat mengurangkan kesesakan tetamu yang datang pada satu-satu masa.

Aku bersetuju dengan kompromi yang dicadangkan oleh Bapak. Aku lega, sekurang-kurangnya tetamu ada pilihan sama ada untuk duduk berasingan atau bersama kawan-kawan / pasangan berlainan jantina. Malah, sebaik sahaja Bapak menyatakan usulan itu, aku sudah membayangkan bagaimana pengubahsuaian boleh dilakukan: letakkan sahaja tanda meja, seperti majlis makan serentak di hotel atau di dewan. Cuma kali ini bukan nombor meja yang tertera pada tanda, tetapi kata-kata seperti (“Meja ini / This Table is…) “Untuk Kaum Hawa Sahaja / For Women Only“, “Untuk Kaum Adam Sahaja / For Men Only” dan “Pergaulan Bebas / Free For All “Untuk Kedua-dua Lelaki dan Wanita / For Both Men and Women“. Dalam kepala otakku sudah mula berputik idea dan rasa ghairah bagi projek DIY pertamaku: tanda meja.

Memang suatu ironi, perkara yang menjadi duri dalam daging kini menyemarakkan lagi semangatku. Kalau boleh, memang aku ingin sangat majlisku diadakan seperti majlis perkahwinan biasa tanpa apa-apa pengasingan jantina. Tapi dalam kes ini, aku rasa sudah cukup baik bapaku mengalah dan melembutkan sedikit pendiriannya demi mengambil kira pendirian dan kemahuanku. Kata orang (Putih), better something than nothing at all, right? Aku hanya berharap sekarang bahawa apa yang kubayangkan serupa dengan apa yang ada dalam kepala otak Bapak juga. Tolong eh Pak, jangan nak minta dipasang tabir buluh atau tembok Berlin atau tembok besar China segala. Rosak rupa majlis aku nanti.

2 thoughts on “Pengasingan: Antara Pendirian dan Pilihan

  1. Hahaha! I so agree w u on the issue! Syabas, penggunaan bahasa melayu anda sgt lancar dan mengagumkan! Baku, but not weird mcm the way some actors on tv talk. Haha.

    • Terima kasih.🙂 Alhamdulillah, saya dibesarkan dalam suasana keluarga yang berbahasa Melayu hampir sepenuhnya dan mempunyai budaya mencintai buku, baik buku bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Jadi saya boleh menggunakan kedua-dua bahasa dengan lancar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s