Pengantin pelik punya persalinan (part ketiga)

Tiba-tiba rasa teringin menulis dalam bahasa Melayu semula (penangan tajuk ‘tu agaknya).

Baiklah kita sambung semula bab bersalin persalinan pengantin dari part pertama dan part kedua. Tidakku sangka, penulisanku yang sekadar bertujuan mencatat angan-angan yang melimpah ruah dapat mencetuskan perkongsian maklumat yang sangat berguna daripada bakal pengantin yang lain. Terima kasih bagi yang telah berkongsi! Kalian semua tahu diri kalian masing-masing.🙂

Sebenarnya antara persalinan pengantin yang kurang kuminati (dan kalau boleh ingin terus kuelak) ialah persalinan omputeh (mat salleh lah ‘tu) dalam bentuk gaun kembang dengan kain berela-ela dan berlipat-lipat mengalahkan langsir di bazar Geylang. Sebabnya, seberapa yang boleh aku ingin mengurangkan perhatian orang terhadap diriku meskipun aku tahu siapa lagi yang menjadi perhatian di majlis perkahwinan kalau bukan si pengantin, kan? Entahlah, padaku persalinan gaun kembang itu tak perlu sebab kita pun orang timur, orang Melayu, bukan? Buat apalah nak sibuk-sibuk pakai gaun kembang yang tak ada kena-mengena dengan budaya kita? Kalau pakai ala Arab aku boleh terima juga sebab kaitannya adalah dari segi kebudayaan masyarakat Islam. Lagipun Arab dan Melayu, sama-sama timur. Namun, aku tidak pula menolak mengenakan persalinan yang menerapkan unsur ringkas dan kontemporari dari Barat.

Siapa sangka, kesediaanku menjadi menantu ‘mithali’ (MM) diuji begitu awal? Semasa cik abang tunangku membawa ku berjumpa ibunya untuk bertanyakan pandangan tentang sebut harga yang diberikan Peti Solek, beliau (bakal ibu mertuaku) ada menyebut bahawa bagi majlis jamuan pihak keluarga mereka, beliau mahukan aku mengenakan baju gaun barat, sebelum bertukar ke persalinan etnik yang akan ditempah beliau khas untuk kami berdua. Aku terperanjat sedikit (sedikit sahaja) kerana awal-awal jenis persalinan sudahpun ditentukan beliau (sedangkan ibuku sendiri tidak pernah menyebutkan jangkaannya terhadap apa yang akan kukenakan sewaktu majlis perkahwinanku; ibuku seolah-olah sudah benar-benar masak dengan perangaiku yang sentiasa mempunyai citarasa tersendiri dan seboleh-boleh mahu ikutkan kehendak hati sendiri).

Walau bagaimanapun, aku menerima permintaan bakal ibu mertuaku dengan tenang dan menjawab: baik, tiada masalah. Sudah kukatakan, aku tidak menolak sama sekali kemungkinan mengenakan persalinan berunsur Barat yang ringkas dan kontemporari.

Lantas, ekoran maklumat yang telah kuterima melalui komen pembaca, aku mula meneroka laman DHgate yang merupakan laman yang memasarkan produk daripada pembekal China. Ketika melihat-lihat, adalah beberapa pasang (helai?) gaun yang menarik perhatianku, seperti yang berikut:

20120806-231914.jpg
Walaupun kembang, kainnya tidaklah berlebihan dan coraknya ringkas tetapi menawan. Sememangnya aku suka corak dedaunan yang melingkar dengan batangnya, baik pada baju, kulit depan buku nota, poster dan lain-lain. (Sebelum ada yang terfikir ‘Seksanya!’ baik aku katakan bahawa gaun ini tinggal perlu ditambah jaket pendek berlengan panjang.)

20120806-232610.jpg
1. Aku sukakan warnanya yang biru kehijauan (redup dan tenang mata memandang!)
2. Aku sukakan potongannya yang ringkas.

Dalam keseronokan melihat-lihat, terdetik pula dalam hati ini: apakah yang dimaksudkan oleh ibu tunangku apabila beliau menyebut ‘baju gaun barat’? Adakah beliau maksudkan yang ringkas dan kontemporari (sebagaimana citarasaku) atau yang kembang sekembang-kembangnya? Sememangnya aku tidak boleh pandai-pandai membuat andaian, maka untuk menghapuskan segala kesangsian, aku pun menghantarkan gambar gaun pertama itu melalui WhatsApp kepada cik abang tunangku untuk ditunjukkan kepada ibunya. Rupa-rupanya, bukan sahaja member maksudkan gaun yang kembang (siap dengan kain sapu lantai), tetapi warnanya juga harus putih sahaja! Nampaknya kesediaanku menjadi MM diuji secara berperingkat!

Tidak boleh kunafikan, aku terkilan sedikit kerana aku sudahpun menyukai gaun pertama itu dan diriku sudah masuk moda sentimentel dengan membayangkan diriku mengenakan gaun tersebut bagi majlis jamuan pihak (bakal) suamiku. Namun aku tetap maintain cool sebab ke-berangan-anku baru sahaja bermula dan belum sampai ke tahap maksimum. Lagipun, setelah benar-benar meneliti laman DHgate itu, aku baru sedar bahawa harga penghantaran ke Singapura acapkali hampir sama dengan harga bajunya! Malah ada yang melebihi harga baju! (Kedua-duanya menggunakan matawang Amerika Syarikat.) Bukankah tidak berbaloi namanya?

Ada dua faktor lain yang menjejaskan keyakinanku terhadap pembekal di laman itu:
1) mereka kemungkinan besar kurang fasih berkomunikasi dalam bahasa Inggeris;
2) gambar yang digunakan bukanlah gambar baju contoh yang telah dijahit sendiri oleh mereka, tetapi merupakan gambar dari majalah atau sumber lain yang menjadi rujukan (dan tiruan) bagi baju yang bakal dijahit oleh mereka.

Lantaran itu aku mula memikirkan cara lain aku boleh mendapatkan baju gaun pengantin pada harga murah. Terlintas di fikiranku untuk membeli baju gaun terpakai. Lagipun apa bezanya membeli baju terpakai dengan menyewanya? Kedua-duanya sudahpun dipakai oleh orang lain, bukan? Mengapa pula aku tidak menyewa sahaja?

Pertama, harga yang dikenakan untuk menyewa baju gaun pengantin putih tradisional kembang panjang sudah pun mahal, sekurang-kurangnya 150 dolar ke atas. Ini belum termasuk wang cengkeram sebagai perlindungan (security fee) yang tidak akan dikembalikan kalau baju tersebut didapati ada kotoran atau kerosakan setelah dipakai. Kedua, kalau aku ambil sahaja khidmat jurusolek tanpa khidmat mak andam dan tanpa menyewa baju, kos bagi persalinan dan solekan dapat dikurangkan dengan membeli gaun terpakai yang murah.

Cari punya cari, tengok punya tengok, aku terjumpa laman Pre Owned Wedding Dresses, di mana aku terjatuh hati sampai tergolek-golek pada baju gaun ini:

20120807-231509.jpg

Meh meh tengok dekat sikit…

20120807-231626.jpg

Ke belakang pusing!

20120807-231742.jpg

Haaah amek kau kain sepanjang-panjangnya! Kalau jadi kain sari boleh lilit dua tiga achi kecik agaknya…

20120807-232330.jpg

CANTIK KAN, CANTIK KAN, CANTIK KAN???

Inilah gaun paling sempurna.

Warna putih? YA.

Skirt kembang? YA.

Kain panjang? YA.

Tangan panjang? YA.

Corak ringkas tetapi tetap anggun? YA.

Murah? YA. (USD 63 sahaja cik adik dan cik kak! Belum termasuk harga penghantaran.)

Sememangnya walaupun aku tidak pernah membesar dengan gambaran khusus tentang baju gaun putih yang ingin kukenakan pada hari perkahwinanku, tiba-tiba sahaja gaun inilah gaun idaman yang tanpa disedari kuidamkan secara bawah sedar.

Aku pun mula bertanyakan penjual baju gaun tersebut hal itu dan ini. Pada tanggal 18 Julai, aku menghantar gambar-gambar baju gaun itu melalui e-mel kepada cik abang tunangku dan memintanya supaya bertanyakan pandangan ibunya dan mendapatkan lampu hijau.

Kebetulan, ada sahaja halangan bagi tunangku menunjukkan gambar-gambar tersebut kepada ibunya. Dia sibuklah, ada isu keluargalah, masa belum sesuailah. Berbuih juga mulutku Lenguh juga jari-jemariku berulang kali mengetaip mesej WhatsApp untuk bertanyakan sama ada dia sudah menunjukkan ibunya gambar-gambar tersebut. Namun setiap kali berhadapan dengan jawapan ‘belum’, aku sekadar mengingatkannya supaya segera melakukannya. Waktu itu memang aku tidak mahu membebankan fikirannya dengan tuntutan itu dan ini, kerana pekerjaan campur pengajian separuh masa campur isu keluarga yang melanda dirinya sudah cukup memberi tekanan yang bikin pusing itu kepala. Aku pun mengandaikan, kalau baju gaun itu sudah dilihat sebanyak lebih seribu kali tanpa pembeli, sedangkan sudah ditawarkan pada harga yang sangat murah, sudah tentu ia tak akan ke mana. Omputeh sekarang kan ‘sexy maxi’ belaka, takkanlah ada yang nak beli baju gaun terlebih kain?

Alangkah melesetnya andaianku itu. Kira-kira dua minggu selepas itu, pada tanggal 3 Ogos, aku menerima berita yang membuatku ber’cartwheel’ dalam hati. Ibu mertuaku (eh, bakal lah) telah memberikan lampu hijau kepada gaun idamanku. Aku pun apa lagi, terus ke pautan Etsy yang diberikan penjual terbabit untuk melaksanakan urus niaga dengannya. (Laman Pre Owned Wedding Dresses lebih bersifat sebagai medan iklan dan bukan pusat jual-beli.)

Betapa paniknya aku apabila skrin ini yang aku temui setelah mengeklik pautan tersebut:

20120808-001939.jpg

Ke manakah perginya baju itu???

Aku mencarinya pula di laman Pre Owned Wedding Dresses, di mana aku menjumpai baju gaun itu di bawah kategori ‘Discount Wedding Dresses’.

Tidak ada juga!!!

Hatiku yang semakin gelisah mendorongku untuk melihat pula dalam kategori ‘Recently Sold’. Kalau betul-betul aku tahu dan sedang buat ‘cartwheels’, sesungguhnya inilah detik aku hilang imbangan dan jatuh pelepok macam nangka busuk, kerana begitu jugalah jatuh harapan dan angan-anganku:

20120808-003106.jpg

Sekali lagi, nasib macam kentang betullah aku ‘ni.

Sebenarnya sewaktu menunggu-nunggu lampu hijau yang tak kunjung tiba, aku rasa seperti ingin sahaja mengambil tindakan sendiri dan terus membeli baju gaun itu walaupun belum mendapat persetujuan. Entah mengapa, hatiku berdetik: semuanya sempurna, semuanya ada pada baju ini, sudah tentu member ‘tu pun suka, tak payahlah tunggu-tunggu lagi, beli sahaja! Tapi sangkin hendak sangat dapat berkat dengan mengambil hati orang tua, gerak hati yang kuat itu kuletak ke tepi.

Sudah tentulah aku hampa dan kecewa teramat sangat. Marah juga ada pada si cik abang tunang yang kelelet-kelelet kata orang Jawa, iaitu berlengah-lengah melakukan sesuatu yang begitu mudah. Tertempias juga kehampaan dan kemarahanku sehingga dialah menjadi mangsa buat seketika. Panjang lebar keluhanku kepadanya: akan sukar sangat mencari (malah mungkin takkan ada lagi) baju secantik itu, atau baju yang berlengan panjang, atau yang cantik dan berlengan panjang namun berharga semurah itu. Dia pun apa lagi, tak pernah akan menerima diri dipersalahkan sepenuhnya. Katanya dia menyangka aku ingin membeli daripada laman pembekal China yang akan membuatkanku baju baru berdasarkan contoh dalam gambar. Katanya lagi aku juga bersalah kerana tidak memberitahunya perihal baju itu dijual hanya sepasang itu sahaja. Kuberikan kata dua: selagi tidak kutemui pengganti baju gaun itu, selagi itu aku tak akan berbalas mesej dengannya.

Jadi, apakah kesudahan cerita baju pengantin pelik ini? Nantikan sambungannya (macam drama bersiri pula).

3 thoughts on “Pengantin pelik punya persalinan (part ketiga)

  1. I got my shoes from endless in the end – all the better cause of free shipping :))) I’m sure you can find sth nice(r)!!

  2. Pingback: Pengantin pelik punya persalinan part keempat | pengantin pelik

  3. Pingback: Hot from the oven! Aka What Makes a Good Wife – Criteria #2 | pengantin pelik

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s