Pabila Niat Murni Disalah Erti

Sejak kecil lagi, aku sudah memahami nilai wang. Sejak kecil lagi, aku sudah mengerti bahawa meskipun keluargaku tidak susah, namun kami bukanlah orang berada. Masih kuingat, semasa kami dibawa keluar membeli-belah, barangan yang harganya melampaui dua puluhan dolar dianggap terlalu mahal dan tidak akan mendapat kebenaran pembelian daripada kementerian kewangan (ibukulah itu).

Atas kesedaran itulah, aku bertekad, aku tidak mahu menjadi bebanan dari segi kewangan kepada ibu bapaku. Sudah banyak pengorbanan mereka untukku, lebih-lebih lagi dari segi kewangan kerana kelahiranku sebagai anak kelima melanggar dasar pemerintah waktu itu yang mahu rakyatnya berhenti melahirkan selepas mendapat dua orang anak, lantas orang tuaku dikenakan denda antaranya dalam bentuk saman, cuti bersalin tanpa gaji dan tiada sokongan bagi pendidikan anak yang ‘terlebih’ itu dalam bentuk dana Edusave bagi membiayai program tambahan sekolah.

Tekadku itu memainkan peranan besar dalam pemilihan universiti serta kursus pengajian tinggiku tujuh tahun dahulu. Aku pernah berangan-angan menjadi penulis dan mengikuti kursus kewartawanan (journalism). Namun aku tahu orang tuaku tidak mampu membiayai yuran pengajian yang makan berpuluh ribu dolar. Demi tidak membebankan mereka dengan berhutang pada usia persaraan, dan demi mengelak diriku sendiri terpaksa menyandang hutang sebelum mula pun bekerja, aku memutuskan untuk memilih kursus lain.

Kursus tersebut akhirnya akan mempersiap diriku untuk suatu kerjaya yang memerlukanku menulis dan berfikir serta menyampaikan sesuatu setiap hari kepada khalayak yang bakal meneraju masyarakat. Yurannya dibiayai sepenuhnya oleh pemerintah. Aku juga diberi wang saku setiap bulan sepanjang dua tahun pertama kursusku. Syaratnya? Aku terikat selama lapan tahun (empat tahun tempoh pengajian, empat tahun tempoh perkhidmatan dengan pemerintah). Sepanjang lapan tahun tersebut aku bukan sahaja perlu lulus semua modul kursus, tetapi aku juga perlu menjaga tingkah laku dan memenuhi jangkaan tugas supaya aku tidak dikenakan tindakan disiplin yang menyebabkan aku diberhentikan. Seandainya itu berlaku, atau aku sendiri membuat keputusan untuk berhenti, sudah tentu denda yang harus dibayar besar jumlahnya. Alhamdulillah, kini sudah tujuh tahun lebih aku memenuhi syarat perjanjian dan insyaAllah aku tidak akan terikat lagi dalam masa beberapa bulan lagi.

Kini, selesai menempuhi alam pengajian dan alam permulaan pekerjaan, tiba pula masa bagi aku memulakan perjalanan melangkah masuk ke alam perkahwinan. Untuk melangkah masuk sebenarnya sangat mudah, namun adat kebiasaan dan jangkaan serta harapan orang tua boleh merumitkan keadaan.

Sekali lagi, aku bertekad untuk tidak membebankan ibu bapaku dari segi kewangan. Aku sedar, selepas membiayai dan melangsungkan majlis perkahwinan untuk tiga orang anak pertama, mereka kini tidak mampu melakukan yang sama buatku. Namun aku tidak berasa terkilan, jauh sekali sakit hati dengan keadaan ini. Bagiku, itu sudah rezeki masing-masing. Lagipun, antara kami lima beradik, akulah yang berjaya mendapat ijazah sarjana muda pada usia semuda 23 tahun dan aku memulakan kerjayaku berdasarkan kelayakan tersebut, lantas gajiku lebih besar berbanding gaji kakak-kakak dan abang-abangku apabila mereka sendiri baru mula bekerja. Maka ‘layak’ sangatlah kalau aku menampung sendiri perbelanjaan bagi majlis perkahwinanku. Aku juga sudah mula menyimpan wang untuk tujuan perkahwinan sejak menerima gaji pertamaku (walaupun pada waktu itu aku belum pun dilamar), lantas sekarang simpananku sudah mencukupi.

Mungkin sejak kecil lagi sikap berdikari sudah ditanam dan kemudian mengental dalam diriku, oleh itu aku hidup dengan prinsip tidak mahu membebankan orang lain. Apa-apapun yang kuinginkan dalam hidup, biarlah aku kuperoleh atas hasil titik peluhku sendiri. Itu termasuklah majlis perkahwinanku. Padaku biarlah aku menampung kesuluruhan kosnya kerana yang hendak berkahwin ialah aku, dan biarlah ibu bapaku tinggal menyerikan hari itu dengan kehadiran mereka. Mak dan Bapak tak perlu bimbang! Semuanya tanggung beres, tak perlu runsingkan tentang hal duit, tinggal tunggu harinya sahaja. Itulah niat murniku untuk ibu bapaku apabila aku membayangkan kepada mereka hasratku untuk membiayai sendiri segala ongkos majlis perkahwinanku (selain niat sampingan untuk menentukan sendiri hala tuju dan konsep majlis tersebut; aku yang bayar, maka akulah yang berhak memberi kata putus).

Namun, kadangkala niat murni boleh disalah erti apabila mentaliti lama bercampur dengan sensitiviti. Sudah terang lagi jelas pendirianku tentang ongkos majlis perkahwinan: belanja berpuluh ribu untuk acara sehari dua ialah suatu pembaziran! Lebih-lebih lagi apabila kebanyakan daripada wang berpuluh ribu itu disalurkan kepada unsur berlebih-lebihan dan bermegah-megahan. Awal-awal lagi aku sudah melakarkan bajet bagi setiap perkara, dari perkara besar seperti sewa tempat, upah tukang masak (yang tentunya terkait dengan jumlah tetamu yang dijemput) dan bayaran mak andam; ke perkara sederhana seperti harga berkat, kad jemputan, barangan dulang hantaran; hinggalah ke perkara sekecil-kecilnya seperti harga bahan untuk buat tanda arah ke tempat majlis.

Mungkin ada yang menganggap aku terlalu obsesi, tetapi padaku hal belanja majlis perlu dirancang dan dikawal dari awal supaya kita sentiasa beringat semasa membuat tinjauan dan pemilihan. Lantas, apabila Mak mengemukakan cadangan untuk mengambil suatu perkhidmatan yang ditawarkan oleh seorang saudara memandangkan konsepnya yang menyenangkan dan dia pun sedang mengadakan promosi, perkara pertama yang kutanyakan ialah harganya.

Mak menjawab, “Alah, x ratus je.”

Aku menunjukkan raut muka sedang menimbang-nimbangkan perkara tersebut dalam fikiranku sebelum membalas, “Nanti ya, Zakiah tengok balik bajet dulu.”

Tak boleh kunafikan, aku agak terperanjat apabila Mak melenting sedikit dan berkata, “Kenapa kau, dah tak sudi terima pemberian Mak?”

Dengan segera aku merenggangkan sedikit genggamanku pada tali kemudi perancangan majlis perkahwinanku dan mengangkat tangan tanda menyerah. “Ok Mak, boleh Mak, yang ini Mak bayarkan, Mak ‘sponsor’ ya…” kataku dengan nada mengalah.

Kejadian di atas seharusnya membuatku sedar bahawa ibuku sudah terasa perbezaannya antara perancangan majlisku dan majlis kakak dan abang-abangku; beliau sudah terasa kehilangan ‘kuasa’ untuk memutuskan apa-apa berkenaan majlisku. Seharusnya aku sudah mula perasan bahawa beliau ingin dirinya ada sumbangan, ada kata putus, walau sekecil manapun, dalam majlisku. Namun waktu itu aku tidak tersedar itu semua.

Seterusnya, dalam bulan perayaan yang baru berlalu, berlaku pula kejadian kedua. Ketika berkunjung ke rumah seorang makcik, aku dan Mak sedang bersiap-siap selepas menunaikan solat apabila kami ditanya oleh makcik tersebut sama ada kami sudah membuat apa-apa tempahan untuk majlisku.

“Belum apa-apa, masih tengok-tengok. Susah si dekni, lokek!” Seperti biasa Mak tidak mahu mendedahkan apa-apa yang masih dalam perancangan awal. Aku pun sudah lali dengan gelaran ‘pelokek’ yang dilemparkan oleh Mak secara separuh bergurau, separuh sinis, separuh menyampah, separuh geram kepadaku tatkala topik perbualan menyentuh tentang majlisku; lebih baik pelokek sekarang daripada pening-pening kemudian memikirkan kekurangan wang untuk kehidupan berumahtangga, bukan?

Aku tidak mengambil hati dengan apa-apa sindiran Mak (aku memang boleh membatukan hatiku begitu), namun apabila digunakan seperti peluru di hadapan orang lain, sudah tentulah reaksi pertamaku adalah untuk mempertahankan diriku dan pendirianku. Aku pun apa lagi, dengan spontan menjawab seolah-olah merungut, “Eh mestilah, semua orang bayar sendiri tau!”

Bukan niatku waktu itu untuk menyalahkan ibu bapaku, jauh sekali memalukan mereka dengan pendedahan bahawa mereka tidak mampu mengeluarkan belanja bagi majlisku. Aku sekadar ingin membela sikap ‘lokek’ aku itu dengan memberi alasan yang baik: semua kos akan kutanggung sendiri, sebab itulah aku perlu berlokek-lokek ketika meninjau-ninjau perkhidmatan dan membuat tempahan.

Perbualan kami bertiga mati di situ dan aku terus tidak teringatkannya lagi hinggalah suatu hari tidak lama setelah itu. Waktu itu aku masuk ke bilik Mak untuk menunjukkan barang hantaran yang telah kubeli dalam talian dan telah kuambil dari pejabat pos. Setelah melihat-lihat barang tersebut dan berbual-bual tentang barang hantaran lain yang boleh diberikan kepadaku, Mak bersuara, “Mak nak ingatkan ni, tolonglah eh, jangan cakap-cakap, jangan cerita-cerita dengan orang yang semua belanja majlis kau yang bayar.”

Sejak bila aku sengaja cerita-cerita pada orang tentang hal ini? Itulah soalan pertama yang terdetik di hati.

“Kau cakap macam itu seolah-olah Mak dah tak ada apa-apa (untuk kau), kan tak baik orang dengar. Nanti apa kata orang, kau anak bongsu jadi tak dapat sumbangan Mak. Jadi bila Mak dah tak ada apa-apa, dah tak boleh kata apa-apa… Semua orang tua berbesar hati anaknya nak kahwin, nak raikan. Dalam Islam pun kata perkahwinan itu bagus, kena raikan, siarkan pada orang…”*

*Kata-kata ini sekadar apa yang aku ingat daripada perbualan tersebut, dan mungkin sahaja telah ditokok tambah menurut tafsiranku terhadap apa yang keluar daripada mulut ibuku.*

Dalam hatiku: Lerrr, sensitif pula orang tua ni???

Namun sebaik sahaja ‘Islam’ masuk dalam perbualan, aku terpaksa mencelah. Aku tahu taktik itu – taktik di mana dengan menyebut atau menyelitkan sahaja ‘Islam’, pengguna taktik kononnya di pihak yang benar dan teman atau lawan bercakapnya itu di pihak yang salah. Seperti debat ibu-dan-anak yang biasa berlaku, aku pun pantang menyerah dan mengalah sebelum mempertahankan pendirianku. Aku boleh sahaja menggunakan taktik ‘dalam Islam’ yang sama untuk menempelak ibuku dan menundukkan kata-katanya (“Dalam Islam pun Mak, pembaziran dan sifat bermegah-megahan itu ditentang dan kesederhanaan itu amat digalakkan”), tetapi seperti kata omputeh, I won’t stoop to the same level.

Sebaliknya aku menjawab lebih kurang begini: Memang betullah perkahwinan tu bagus, Zakiah tak cakap pun Zakiah tak nak majlis langsung. Tapi biarlah majlis tu yang sedang-sedang sahaja. Mengapa Mak nak sibukkan apa orang kata? Mereka nak cakap apa-apa pun, biarkan. Ini pun bukan tentang Zakiah atau Mak yang bayar. (Di sini aku menyelitkan kata-kata hikmat cik abang tunangku –> ) Orang kata, kalau kita jutawan pun tak bermakna kita habiskan sejuta. Kalau Mak ada 40 ribu pun, Mak nak bagi buat belanja majlis Zakiah, Zakiah tetap tak nak. Daripada Mak habiskan semua buat majlis, lebih baik Mak berikan duit itu kepada Zakiah, biar Zakiah aturkan cantik-cantik, pakai untuk apa yang perlu sahaja. Lepas tu duit yang selebihnya Zakiah boleh simpan buat bayar rumah ke, beli barang rumah ke, boleh buat macam-macam. Kan baru muai namanya tu. Ini tentang nilai duit tu Mak. Sekarang ni pun Zakiah dah boleh buat majlis 30 ribu, cuma Zakiah tak nak sahaja. Sebab Zakiah fikir masa depan.

Selepas itu tak terkata apa lagi orang tua tercintaku itu. Mungkin sebab susah kan nak lawan cakap si bekas pembahas – tapi sampai peringkat saringan je – ini, kan kan kan?

Walau bagaimanapun, diam ibuku tidak memberi sebarang kepuasan. Bukan kemenangan berdebat yang kucari. Bukan gelaran ‘aku betul’ yang ingin kusandang. Kalau ibuku seorang yang sensitif – dan hal ini telah dinyatakan oleh kakakku berkali-kali – aku juga sama sensitif. (Kakakku akan mengatakan bahawa kami berdua memang dua kali lima samanya, baik perangai tak nak kalahnya, tabiat suka berbelanjanya, kegemaran rasa masam pada makanannya, dll.) Aku sebenarnya lebih terkilan bahawa niat murniku disalah erti. Tidakkah Mak rasa bangga dan lega punya anak seperti aku yang mahu melepaskan bebanan kewangannya dan tidak mahu beliau risau langsung tentang ongkos majlis perkahwinanku? Tidakkah Mak sedar bahawa disebabkan itu beliau boleh sahaja menyimpan wangnya untuk memenuhi impiannya menjalani umrah sekali lagi?

Hai, susah betul kan nak kahwin nak rancang majlis perkahwinan sendiri pabila niat murni dan pendirian sendiri disalah erti dan bertembung dengan harapan, jangkaan, adat kebiasaan dan sindrom kecil hati? Rumitnya memerlukan pendekatan yang sabar lagi bijaksana, ibarat menarik rambut dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berserak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s