Pengantin pelik punya persalinan (part kelima)

Akhirnya, post 4P yang dijanji! Setelah rentetan post tentang usaha mengempiskan perut dan percubaan gaya pemakanan yang berubah dari mayur (vegetarian) ke ala zaman purba (Paleo), blog ini macam dah terpesong sedikit daripada blog kahwin-kahwin jadi blog kesihatan dan kecergasan (health and fitness). Sebelum terus tepesong masuk ajaran sesat, sudah tiba masanya untuk memperbetul tumpuan blog ini. *Cheyyy macam lah blog ini ada peminat. Perasan gilerrr lah Zakiah!*

Baiklah, dalam 4P (part kelima) hari ini, ceritanya akan dipecahkan kepada beberapa part lagi. Hari ini aku nak ceritakan tiga antaranya (rasa-rasanya akan ada sampai lima, cantik kan, part kelima ada pecahan sampai lima, aku suka benda-benda sepadan macam ini). Tanpa membuang masa meleret pasal benda yang aku suka atau tak suka lagi, maka mulalah alkisah…

Part pertama: Sabtu, 3 November 2013

Aku serta kakak, ibu, dua orang ibu saudara dan seorang kakak saudaraku ke pusat kain orang Melayu di Singapura, di mana lagi kalau bukan Arab Street (Geylang tak mainlah, sorry). Misi utamaku adalah untuk mencari kain bagi persalinan perkahwinanku, dibantu oleh Mak dan Kak Di. Yang lain ingin beli kain untuk dibuat baju raya bagi tahun depan. (Tukang jahit kami kata tempahan untuk baju raya harus dibuat selewat-lewatnya Disember tahun ini.)

Jadi kami pergilah ke kedai pertama yang betul-betul terletak di simpang jalan. Bagaikan jodoh, kedai pertama itu jugalah kedai terakhir yang mendapat bisnes daripadaku. Sememangnya aku tak ada apa-apa gambaran jelas tentang kain yang aku inginkan, cuma yang aku tahu, kain itu harus ada ‘aura’ pengantin tetapi tetap ringkas dan boleh pula digunakan sekali berkali-kali lagi buat acara lain seperti hari raya, jemputan majlis perkahwinan, acara penganugerahan (cheyyy confident nampak satu hari nanti akan dianugerahkan sesuatu… yang penting yakin beb!) Selain itu aku pun sudah tahu potongan baju yang akan dibuat serta lebih kurang skema warna yang aku sukai. Yang terakhir dan terpenting, bagi persalinan nikah, kainnya haruslah kena dengan selendang panjang jarang, hadiah daripada cik abang tunangku beberapa tahun dahulu, yang akan aku kenakan sebagai alas kepala luar (veil). Selendang itu memang terlalu cantik untuk digunakan buat hari atau acara biasa. Sebenarnya, aku berniat mengenakannya untuk majlis pertunanganku yang serba kecil dan ringkas setahun setengah yang lalu, tetapi waktu itu aku tidak ingat mana aku simpan benda itu, jadi tak kesampaianlah niatku. Kali ini aku dah jumpa, jadi aku takkan lepaskan peluang menggunakan pemberian cik abang itu untuk hari bersejarah kami (awwww touchingnya!)

Nasib baik juga ada selendang panjang tersebut, kerana sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh dijadikan paksi dalam pencarianku; tidaklah terawang-awang sangat aku di dalam kedai itu. Aku menunjukkan selendang itu kepada pekedai yang sungguh sabar dan ramah melayan kami. Selembar demi selembar kain dikeluarkannya demi mencari apa yang menepati citarasaku. Dia juga sangat peka mendengar permintaanku dan ligat mencari kain lain untuk dipadankan menjadi suatu persalinan lengkap. Pencarian menjadi lebih lancar kerana aku mengambil sikap go with the flow atau ikut sahaja apa yang dicadangkan oleh pekedai sehingga timbul sesuatu yang menarik hati. Aku juga ingin Mak setuju dan puas hati dengan pilihanku supaya tak ada soal tak senang hati dengan persalinan yang akan kukenakan dalam majlisku nanti. Siapa tak sayang ibu sendiri kan?

Cari punya cari, cadang punya cadang, minta punya minta, pandang punya pandang, fikir punya fikir, timbang punya timbang, akhirnya dapatlah kain untuk ketiga-tiga persalinan yang diperlukan buat acara nikah, sanding dan dulang hantaran. Aku pun tak sangka proses pencarian ini berjalan sungguh lancar dan mudah kerana tahu-tahu sahajalah, aku ini kan cerewet orangnya. Kecerewetanku terkenal seluruh kampung di kalangan orang yang dekat denganku! Sebenarnya aku mahu pergi dengan hati yang senang dan pulang juga dengan hati yang senang. Buat apalah berkeras hati sampai muka masam macam tempoyak basi? (Hahaha itu ‘tempoyak basi’ ustazah aku punya trademark lah oi!)

Lagipun layanan pekedai yang sabar dan ramah dan prihatin dan tidak mendesak tetapi sebaliknya memberiku ruang untuk berfikir dan membuat pertimbangan sudah cukup untuk membuatku bulat hati untuk menamatkan pencarianku di kedai itu. Kalau layan macam tak nak layan, dah tu ngoyok-ngoyok pula (itu istilah Jawa kalau tak salah, yang bermakna mendesak-desak) kau dan kedai kau boleh pergi jalan dah. Jadi alhamdulillah, pekedai itu memberikan khidmat dan layanan yang sangat-sangat memuaskan, lantas berakhirlah urus niaga tersebut dengan senyuman sang penjual dan rasa puas hati sang pembeli. I’m one happy customer!

Nak tengok tak kain-kainku nak tengok tak nak tengok tak?

Tak boleh! Semua kan rahsia!

Nak tengok juga?

Oklah bolehlah, tapi tengok secebis je tau! Omputeh kata, sneak preview!

20121118-130311.jpg

20121118-130346.jpg

20121118-130436.jpg

Dah beli banyak, tentulah dapat harga baik! Untuk tiga persalinan ini jumlahnya $350 sahaja! Termasuk kain lebih yang aku beli untuk dijadikan kain samping sepadan bagi persalinan nikah cik abang tunangku. Kalau hantar tempah di JB, aku rasa tak sampai $300 lah harga akhir setiap persalinan! Paling mahal pun $250 agaknya. Dan setiap kali aku pakai bajunya selepas majlisku, bolehlah dikatakan harga itu boleh dibahagi dua jadi $125, kemudian tiga jadi $83.33, kemudian empat jadi $62.50, kemudian lima jadi $50 dan seterusnya. Kalau aku pakai 10 kali (insyaAllah) maknanya harga sesuatu persalinan itu $25 sahaja kawan-kawan! Bukankah lebih muai daripada menyewa baju daripada mak andam, hanya untuk digunakan sehari! *gelek-gelek ala Zumba*

Sebelum ini aku cool sahaja selepas beli kain dan tunjukkan kepada orang-orang terdekat, tetapi bila dah tulis-menulis dalam blog ini, jadi excited banget gitu!

Baiklah, tadi aku ada sebut tentang kain lebih yang ingin dijadikan kain samping sepadan untuk bakal Bollywood hero suamiku kan? Maka mulalah part kedua misi 4P ku.

Part kedua: Jumaat, 9 November 2012

Memandangkan aku kurang pasti kalau kain lebih yang aku beli itu sesuai untuk cik abang tunangku, maka aku pun bercadang untuk berjumpa dengannya dan bakal ibu mertuaku supaya mereka boleh melihat dan mengukur sendiri kain tersebut. Hal ini perlu dilakukan dengan segera kerana aku, Mak dan Kak Di bercadang untuk menghantar kain itu ke tempat tukang jahit di JB pada hari cuti umum sempena Deepavali, yang berlangsung dalam seminggu lebih setelah hari aku membeli kain.

Jadi pada hari Jumaat dalam minggu selepas hari aku membeli kain, aku dan Mak pun ke rumah belah sana. Aku membawa beg besar macam nak lari dari rumah penuh berisi kain-kain dan juga baju gaun putih yang telah kuimport masuk dari AS. Dah alang kepalang nak tunjukkan kain satu tu, baik bawalah semua kain dan baju yang ada kena mengena dengan persalinan perkahwinan kan? Jadi bolehlah difikirkan sekali apa si cik abang tu nak pakai supaya sepadan dengan aku.

Nak tahu apa kata bakal ibu mertuaku?

Untuk kain pertama:
Ah cantik ni, sepadan baju dengan kain. Tapi yang ini kenapa kain lining tak buat warna sama tapi terang sikit?

Jawapan aku:
Tak Cik, ini nak pakai dengan selendang yang T hadiahkan, selendang panjang tu. Lupa pula nak bawa selendang tu.

Tambah tunangku:
Yalah Mi, selendang yang dalam kotak itu, orang beri Zakiah dulu.

Kata bakal ibu mertuaku:
Oh ya selendang itu. Tapi Mami tak ingat sangat warnanya betul-betul.

Balas aku:
Warnanya X Cik, kita itu hari beli kain kita bawa selendang tu, orang kedai cakap kena warnanya.

Jawapannya:
Kalau macam tu, bolehlah. (Selepas mengukur kainnya…) Kainnya pun T boleh pakai, tinggal cari kain lain buat baju kurung.

Untuk kain kedua:
Wah yang ini CANTIK, cantik betul ni.

Jawapan aku:
Ya Cik, yang ini nak buat baju begini, dah ada mata-mata pun jadi sesuailah. Tapi mungkin saya nak suruh tukang jahit tambah manik-manik-manik di bahagian depan ini jadi lagi nampak berkelap-kelip macam lampu lap lip sesuai untuk pengantin.

Untuk kain ketiga:
Ah yang ini pun cantik. Kain ini boleh jadikan baju sekali letak di dulang. Jadi boleh terus pakai lepas majlis.

Jawab ibu tersayangku:
Ya, kita pun dah cakap dengan Zakiah, buat baju sekali jadi boleh terus pakai selepas majlis.

Untuk baju gaun:
Ini yang Zakiah beli sendiri kan, yang T tunjukkan Cik. Keras ya kainnya. Nampak kecil eh, boleh muatkah?

Jawabku:
Boleh Cik saya dah cuba, nak tengok gambar? Boleh muat tapi memang ketat sikit, ni tengah cuba kuruskan badan lagi..

Katanya:
Takpe, takpe. Nanti Cik tengok dalamnya… (Dengan lagak seseorang yang sudah biasa buat kerja jahit-menjahit, beliau memeriksa jahitan pada sebelah dalam gaun.) Yang ini baik-baik eh, dah tak ada kain lebih untuk besarkan. Jangan naik badan ya. Kalau Zakiah naik badan, dah tak boleh muat pakai baju ni. Nanti tambahkan manik-manik juga lah di depan ini, bahagian dada dengan tangan sikit jadi nampak cantik lagi. Tak ada veil?

Jawabku:
Tak ada, memang tak dijual sama, cuma baju dengan train sahaja. Nanti saya sewa mak andam punya atau saya cari lagi dari Internet.

Kesimpulannya? Bakal ibu mertua suka pada semua pilihanku! Alhamdulillah.

Ada juga satu komennya yang membuatku fikir, inilah namanya jodoh. Katanya: Kita ni memang suka warna hijau, favourite colour ini, kalau boleh bila majlis nak semua pakai hijau, tapi takkan nak suruh-suruh orang lain pakai kan?

Jawabku: Oh ya, tak teringat pula Cik memang suka warna hijau. Saya tahu tapi tak teringat. Memang saya pun dah fikir warna untuk decor majlis, jadi sebab saya nak kenakan dengan decor, saya pilih warna ini. Kebetulan..

Selain itu, cik abang tunangku pun memang ada menyimpan dua pasang baju kurung yang jarang dipakai (waktu raya dia pakai gamis sahaja), jadi bolehlah digunakan sebagai salah satu persalinan. Tinggal buat sepasang lagi untuk baju nikah, jimat sikit!

Yang penting, semua happy!šŸ™‚

Bab kain dah selesai, tinggal buat apa lagi? Tinggal hantar ke tempat tukang jahitlah! Inilah yang membawa kita ke…

Part ketiga: Selasa, 13 November 2012

Aku, Mak, Kak Di dan Kak Li ke tempat tukang jahit di JB, atau lebih tepat lagi, rumahnya. Mujurlah abang sulungku dapat menghantar, kalau tidak, lengit juga ke sana naik bas turun bas dengan membawa beg penuh macam nak lari dari rumah berisi kain.

Sambil menunggu tukang jahit mengukur segala macam seluar dan baju panjang Kak Li yang ingin dipendekkan atau diketatkan, aku pun meminta izin melihat-lihat koleksi majalah yang ada di sana, walaupun sebenarnya aku sudah tahu pun potongan baju yang aku inginkan. Katanya dia tak ada majalah-majalah terbaru, banyak dari tahun-tahun yang lepas, jadi aku pilihlah yang paling terkini, iaitu Majalah Pengantin edisi Oktober 2011.

Di sinilah kali kedua aku terfikir, inilah namanya jodoh; rupa-rupanya bagi edisi tersebut, yang menjadi fokus ialah kain tradisi diraja buat persalinan tradisi mempelai Melayu! Itulah juga kain-kain yang kubeli! Nampak gayanya memang dah termaktublah aku mengenakan persalinan klasik tetapi tetap relevan pada masa kini.

Mengapa akhirnya aku tidak mencari kain dan membuat persalinan yang lebih ringkas dan moden yang pernah aku dambakan dahulu?

1. Aku tidak begitu yakin dengan kebolehan tukang jahitku menghasilkan kerja tangan yang serupa, terutama bagi baju gaun dengan kain lembut yang kembang beropol-ropol.

2. Kalau pun dia boleh melakukannya, kalau hendak baju gaun yang cantik sudah tentu kainnya juga mesti yang bermutu tinggi dan mahal harganya, kemungkinan lebih mahal daripada kain klasik yang kubeli, lebih-lebih lagi kerana aku mungkin perlu membeli kain lebih kerana potongan baju beropol.

3. Kemahiran tukang jahitku menjahit baju potongan tradisi sudah terbukti berulang kali; potongan dan jahitannya kemas, selesa dipakai bajunya (orang kata ‘terletak bila dipakai’) dan cantik dipandang. Dia juga pernah menjahit baju nikah kakakku yang diperbuat daripada bahan kain yang serupa, jadi lebih-lebih lagilah aku mempercayainya untuk menghasilkan kerja tangan yang sama hebat.

4. Baju gaun ringkas dan moden mungkin terlalu ringkas buat kegunaan pengantin, menurut pandangan ibuku. Seberapa boleh aku ingin beliau senang hati dengan pilihanku.

5. Baju gaun mungkin terlalu cantik, terlalu ‘ala pengantin moden’ untuk dipakai buat acara lain. Sebaliknya, baju potongan tradisi, walau bermanik dan bermata, dianggap sesuai untuk dipakai bagi hari raya, jemputan majlis perkahwinan atau acara rasmi lain, lebih-lebih lagi memandangkan sifat pekerjaanku.

Maka itulah, kulupakan sahaja angan-angan untuk menjadi pengantin moden. Sebaliknya, bolehlah aku mula berangan menjadi puteri diraja yang ayu lagi megah mengenakan persalinan daripada kain tenun berbenang emas.

Wahai rakyat jelata, bayangkanlah busana beta!

20121118-175208.jpg

20121118-175138.jpg

20121118-175107.jpg

20121118-175038.jpg

20121118-175014.jpg

20121118-174943.jpg

Binatang apa itu terlipat-lipat di pertengahan baju beta?! Ada tukang jahit langsir kah yang tersesat masuk dalam designer team beta?! *Uhuk huk uhuk huk huk* Tersedak beta melihatnya. Kalau beta ni beta yang sebenar-benarnya, nescaya akan kehilanganlah seorang tuan puteri cantik jelita dalam keluarga diraja Singa Pura ini sebab mati terkejut. Nasib baiklah berangan sahaja, tapi baju yang tengah-tengah dalam gambar terakhir tu memang tak cantik langsung! Inilah akibatnya kalau seboleh-boleh nak memasukkan unsur moden dalam pengolahan bahan klasik. Yang cantik jadi buruk.

Kita berbalik kepada cerita di tempat tukang jahit. Tunggu punya tunggu, akhirnya tiba giliran aku untuk berunding dengannya. Waktu itu sudah hampir dua jam berlalu sejak kami tiba di sana, jadi aku terpaksa cepat-cepat kerana abang sulungku yang memandu kami masuk ke JB sudah hampir selesai membeli barang dapur dan keperluan anak-anak bersama isteri dan ibu mertuanya, sementara kami berurusan dengan tukang jahit. Dia pun tidak mahu sampai ke petang baru pulang ke Singapura kerana tidak mahu terlibat dalam kesesakan yang dijangka akan berlaku kerana kepulangan ramai rakyat Singapura selepas berakhirnya cuti hujung minggu yang panjang.

Selepas aku memutuskan potongan baju dan kain serta kerja memasang manik yang diinginkan, tukang jahit pun mula mengambil ukuran tubuhku. Keadaan agak kelam-kabut kerana abangku sudah pun sampai dan sedang menunggu di luar, dan Mak pun apa lagi, hendak bergegas keluar kerana tidak mahu besannya tertunggu-tunggu. Pada waktu itu aku pun baru teringat yang aku sedang berusaha untuk merampingkan lagi pinggangku, jadi aku bertanya pada tukang jahit sama ada dia dapat mengetatkan baju dan kain seandainya aku jadi lebih kurus. Katanya kalau begitu lebih baik tunggu sahaja sehingga aku dapat melakukannya supaya dia pun tidak perlu buat kerja dua kali, pertama menjahit ikut ukuran sekarang kemudian kedua perlu mengubah suai mengikut ukuran baru.

Kerja mengukur pun dihentikan dan aku, Kak Di dan Kak Li cepat-cepat angkat kaki keluar. Dari muka pintu, kami nampak kereta abangku sudah tidak ada! Mak juga tidak kelihatan. Kami pun menyimpulkan bahawa Mak tentu telah meminta abangku menghantarnya ke kedai CNI yang berdekatan, memandangkan aku belum habis berurusan dengan tukang jahit. Tentu juga mereka akan kembali semula untuk mengambil kami.

Sejurus selepas itu, aku teringat pula tentang salah satu daripada persalinanku yang ingin ku pasang manik, selain baju gaun putihku. Menurut tukang jahitku, tukang pasang manik itu merupakan seorang lelaki yang melakukan kerja tersebut sebagai hobi selepas waktu kerja rasminya, untuk mendapat pendapatan sampingan. Itu bermakna dia akan mengambil masa yang agak lama, sekurang-kurangnya sebulan lebih, untuk menyelesaikan memasang manik pada satu baju sahaja dan itupun bergantung kepada jumlah manik dan corak yang ditempah. Lebih banyak manik dan lebih rumit coraknya, lebih banyak masa lagi yang diperlukan. Aku tidak tahu sama ada kainnya harus dijadikan baju dahulu sebelum kerja memasang manik dilakukan, atau sebaliknya manik boleh dipasang sebelum kain dijahit. Aku pun bertanyakan perkara tersebut kepada tukang jahitku.

Rupa-rupanya, dia pun terlupa tentang perkara tersebut dan mujur aku telah mengingatkannya! Katanya kain itu perlu dijadikan baju dahulu, baru boleh dipasang manik. Itu bermakna dia tidak boleh menunggu lama, sehingga aku berjaya merampingkan pinggangku, untuk mengambil ukuranku. Lebih baik buat sekarang, katanya.

Aku pun masuklah balik untuk membenarkannya mengambil ukuran tubuhku. Sewaktu mengambil ukuran pinggang dan punggungku, katanya: Wah! Awak punya pinggang lebar tapi punggung tak banyak beza.

Jawabku: Yalah, sebab saya ada perut besar banyak lemak. Berapa ukuran pinggang saya?

Katanya: 29 inci.

Kataku: Ok auntie, saya tarik nafas kempiskan perut, auntie ukur.

Katanya sambil mengukur lagi: Awak biar betul, boleh tahan kah? Nanti awak tahan lama sedikit biar saya tengok.

Aku tidak berkata apa-apa kerana waktu itu perhatianku teralih kepada salah seorang kakakku yang sedang mengatakan sesuatu dan aku pula sedang menjawabnya. Namun aku sedar tukang jahitku sedang memerhatikanku dan aku meneruskan perbualanku seperti biasa tetapi tetap dengan sedar mengawal pernafasanku supaya perutku tetap kempis sedikit.

Selepas beberapa saat, dia berkata: Ok boleh 28 inci.

Jawabku: Boleh auntie, saya akan cuba kuruskan lagi!

Selesai semuanya, kami pun mula beredar. Di muka pintu, aku sempat berkata kepada tukang jahitku: Auntie, kalau saya dapat turunkan lagi, saya telefon beritahu auntie lagi ya!

Yalah, mana tahu aku dapat jadi ramping seramping ratu kerengga 25 inci? Yakin mesti ada beb! ;p

Maka berakhirlah 3 daripada 5 bahagian post ‘Pengantin Pelik Punya Persalinan (Part Kelima)’ ini. Nantikan sambungannya!

Sementara itu…

28, 28, 28! 27, 27, 27! 26, 26, 26! 25, 25, 25! Malaysia Zakiah boleh!šŸ™‚

2 thoughts on “Pengantin pelik punya persalinan (part kelima)

  1. Pingback: Hot from the oven! Aka What Makes a Good Wife ā€“ Criteria #2 | pengantin pelik

  2. Pingback: Pengantin pelik punya persalinan (part kelima – bahagian keempat) | pengantin pelik

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s